Saya pasti ramai di kalangan kita tahu bahawa Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan Hutan Hujan tropika purba yang kaya dengan keindahan Flora dan Faunanya. Tetapi tahukah anda hutan hujan tropika purba ini telah dianggarkan berusia lebih 130 juta tahun dan merupakan antara yang tertua di dunia.
Lokasi hutan hujan tropika ini terletak di beberapa buah negeri iaitu:
1) Negeri Sarawak
2) Negeri Sabah
3) Taman Negara (Pahang, Kelantan, Terengganu)
4) Taman Negeri Royal Belum (Perak)
Semestinya saya mengetahui bahawa Sarawak dan Sabah terkenal dengan keindahan flora dan faunanya kerana saya memang berasal dari Sarawak. Kekayaan flora dan faunanya memang tiada tandingannya dan merupakan satu bonus dalam kehidupan saya. Walaubagaimanapun, ada diantara lokasi hutan hujan tropika di malayisa mempunyai flora dan faunanya yang berbeza-beza seperti di Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak.
Mengimbas kembali kenangan pada 17 tahun yang lalu iaitu tanggal 22-25 April 2009, saya telah diberi peluang untuk menjejak kaki di Taman Negeri Royal Belum, Perak. Ketika itu saya bersama-sama rakan sepejabat menghadiri mesyuarat serta lawatan sambil berkerja di Belum Rainforest Resort.
Taman Negeri Royal Belum ini merupakan salah satu hutan purba tertua di dunia dan terkenal dengan ekosistem tasik dan hutan yang tidak terusik serta menjadi habitat penting untuk haiwan terancam. Ia memiliki ribuan spesis tumbuhan termasuk spesies bunga pakma. Manakala hidupan liarnya sama seperti di Taman Negara (Pahang, Kelantan, Terengganu) serta memiliki seladang, rusa samar dan spesis burung enggang dan santuari ikan kelah.
Untuk mengunjungi atau meneroka kawasan hutan Royal Belum, kita terlebih dahulu perlu mendapatkan permit khas daripada Perbadanan Taman Negeri Perak. Kebiasannya hal permit ini diuruskan melalui pihak resort atau agensi pelancongan.
Di sini saya ingin ceritakan pengalaman saya ke Taman Negeri Royal Belum, Perak.
Awal pagi 22 April 2009, Saya bersama sekumpulan rakan sepejabat bersama-sama menaiki bas pejabat dari W.P Putrajaya menuju ke Pulau Banding di Gerik, Perak. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5-6 jam untuk sampai ke destinasi. Setibanya kami di Gerik lebih kurang 12tengah hari, kami melalui dua jambatan besar merentasi Tasik Temenggor untuk terus ke Belum Rainforest Resort iaitu tempat kami mengadakan mesyuarat berkaitan hal-hal pejabat serta tempat penginapan kami selama 3 hari 2 malam.
Sepanjang kami berada di sana, pelbagai aktiviti telah kami lakukan seperti aktiviti:
1) Trekking ke Air Terjun Sungai Kooi iaitu air terjun bertingkat setinggi kira-kira 50 meter
2) Meneroka tasik Temenggor iaitu tasik buatan yang luas dengan menaiki bot.
3) Membuat lawatan ke Perkampungan Orang Asli suku Jahai untuk mengenali budaya hidup masyarakat setempat di tepi tasik.
4) Melawat ke Pusat Rekreasi hutan Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail
Saya tertarik dengan keindahan yang ada taman negeri tersebut kerana pemandangan gunung yang indah dan jajaran gunung ganang yang hijau. Suasana tempat penginapan kami di Belum Rainforest Resort juga sangat tenang, sunyi, damai dan udara yang segar dikelilingi oleh kehijauan hutan hujan tropika. Tempat ini memang amat sesuai kepada mereka yang inginkan ketenangan bersama keluarga, sahabat handai, rakan-rakan dan juga tempat untuk berbulan madu.
Sesungguhnya saya amat bertuah dan bersyukur dapat menjejak kaki di Taman Negeri Loyal Belum ini dan semua kenangan terindah bersama rakan-rakan sepejabat pastinya tidak akan saya lupakan. Kini 17 tahun telah berlalu, pastinya terdapat banyak perubahan berlaku di situ. Semoga suatu hari nanti saya dapat peluamg untuk kembali lagi.
Kepada anda yang inginkan meneroka flora dan fauna dan mencipta pengalaman yang baru, Taman Negeri Royal Belum di Perak adalah tempat yang terbaik untuk dikunjungi. Di bawah adalah link untuk tempahan resort yang ada di Taman Negeri Loyal Belum dengan menawarkan kemudahan dan harga yang berpatutuan.
BELUM RAINFOREST RESORT
ROYAL BELUM MYSTICAL, GERIK
Gambar di bawah adalah semasa lawatan tersebut untuk gambaran kepada anda semua.




















































