Selama 1 bulan iaitu sekitar 7-8 Ogos 2026, negeri sarawak telah dilanda Gelombang Jerebu rentas sempadan kesan daripada pembakaran terbuka di Wilayah kalimantan, Indonesia dan juga pembakaran secara haram oleh penduduk tempatan di negeri Sarawak bagi tujuan pembersihan tanah atau kebun.
Kesan daripada pembakaran ini, mengakibatkan banyak aktiviti luar rumah tidak dapat dijalankan. Sekolah juga terpaksa ditutup dan aktiviti pembelajaran dilakukan secara online di rumah.
Saya masih ingat lagi pada tahun 1997, ketika itu saya di tingkatan 1, sarawak telah diisytiharkan darurat bencana kerana bacaan IPU melonjak melebihi 650 sehingga satu tahap tertinggi iaitu 839. Krisis jerebu pada masa itu berlarutan selama hampir 3 bulan yang bermula pada bulan Ogos 1997 dan beransur pulih menjelang bulan Oktober 1997, selepas hujan yang berterusan.
Sepanjang jerebu tebal tersebut, bahang kepanasan udara juga dirasai. Pemandangan di sekeliling juga dirasakan suram dan langit kelabu. Suasana seperti itu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada emosi, mood dan ketenangan fikiran saya ketika itu walaupun saya baru berusia 13 tahun. Setiap hari saya berdoa dan berharap agar bumi ini kembali seperti sediakala.
Pejam celik, sehinggalah suatu hari di awal pagi apabila saya menjenguk ke luar, terasa satu beban yang berat telah berlalu. Pandangan mata mula berseri dengan kehadiran langit yang biru dan cerah sekali. Pemandangan inilah yang ditunggu setelah sekian lama.
Semoga Jerebu 2026 kali ini tidak akan terjadi seperti dulu lagi kerana betapa berharga dan nikmatnya sekeping langit yang bersih serta udara segar yang boleh dihirup lega. Sama-samalah kita menjaga kesihatan dan diri baik-baik sepanjang tempoh ini.
Jerebu di Pine Square, Batu Kawah.
Anak-anak belajar online sepanjang jerebu.

